Laporan polis terhadap Lalitha di Sentul diklasifikasikan ‘tiada tindakan lanjut’

Laporan polis terhadap Lalitha di Sentul diklasifikasikan ‘tiada tindakan lanjut’

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata laporan dibuat itu tiada kaitan dengan kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Polis berkata, laporan terhadap Lalitha Kunaratnam yang dibuat pada 9 Feb lalu di Balai Polis Sentul, tiada kaitan dengan kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Bukit Aman.
PETALING JAYA:
Laporan polis terhadap wartawan penyiasat Lalitha Kunaratnam yang didakwa berbohong kepada mahkamah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan, mengesahkan perkara itu kepada FMT.

“Untuk maklumat anda, laporan dibuat di Sentul (balai polis) oleh pengadu diklasifikasikan sebagai NFA kerana tiada kaitan dengan kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Laporan terbabit dibuat pada 9 Feb, yang mendakwa melakukan kenyataan tidak benar berhubung statusnya sebagai penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), dalam pernyataan pembelaan pada 3 Feb lalu berhubung saman fitnah difailkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki terhadapnya.

Sumber berkata, kenyataan media C4 pada pertengahan Januari lalu menjelaskan Lalitha tidak lagi bekerja untuk agensi itu sejak Disember 2020.

“C4 juga menjelaskan mereka tidak mempunyai kaitan langsung dengan penulisan yang dimuat naik oleh Lalitha,” kata sumber itu kepada FMT.

Bulan lalu, Azam mengemukakan saman fitnah terhadap Lalitha membabitkan dua artikel, “Business ties among MACC leadership: How deep does it go?”.

Artikel berkenaan diterbitkan oleh Independent News Service pada 26 Okt dan 15 Dis lalu.

Azam menafikan sebarang salah laku dan menjelaskan pembelian lebih 4 juta saham dan waran dua syarikat tersenarai awam dilakukan adiknya menggunakan akaun dagangan beliau pada 2015 hingga 2016.

Suruhanjaya Sekuriti melakukan inkuiri susulan penjelasan itu dan mendapati tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).

Lalitha sedang disiasat polis di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.