Tawaran lebih 4,000 jawatan tetap perkembangan positif, kata doktor kontrak

Tawaran lebih 4,000 jawatan tetap perkembangan positif, kata doktor kontrak

Tetapi, Hartal Doktor Kontrak berkata, lebih banyak perlu dilakukan berhubung kriteria pemilihan bagi jawatan itu.

Hartal Doktor Kontrak berkata, banyak isu dihadapi doktor kontrak di bawah Kementerian Kesihatan belum diselesaikan.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan doktor kontrak menyambut baik keputusan kerajaan menawarkan lebih 4,000 jawatan tetap kepada doktor tahun ini yang disifatkannya “perkembangan positif”.

Dr Mustapha Kamal dari Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkata, keputusan itu adalah perkembangan menggalakkan bagi doktor kontrak.

“Ini adalah perkembangan positif kerana sedikit peningkatan lebih baik daripada tiada langsung,” katanya kepada FMT.

Tetapi, beliau mengingatkan lebih banyak perlu dilakukan untuk menangani isu yang dihadapi doktor kontrak.

Beliau memberi contoh kriteria pemilihan lebih terperinci perlu digariskan untuk doktor kontrak dilantik ke jawatan tetap.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan 4,186 jawatan tetap ditawarkan kepada pegawai perubatan, pergigian dan farmasi mulai Jun ini.

Katanya, jumlah itu merangkumi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

HDK menuntut kriteria dan pemilihan lebih telus untuk doktor kontrak beserta kebajikan sama dengan doktor berjawatan tetap. Ia termasuk cuti barah dan cuti lain untuk doktor kontrak.

Pengumuman hari ini menyusul pengesahan Khairy pada bulan lalu bahawa doktor kontrak layak mendapat tajaan biasiswa menerusi Hadiah Latihan Persekutuan untuk meneruskan pengajian di peringkat kepakaran.

Kabinet berkata, kerajaan turut menawarkan 1,500 jawatan tetap kepada doktor setiap tahun, mulai 2023 hingga 2025. Tambahan, 800 jawatan pakar perubatan dan 70 pakar pergigian turut dibuka setiap tahun mulai tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.