Kumpulan mahu penyerapan doktor kontrak dilaksana adil, mampan

Kumpulan mahu penyerapan doktor kontrak dilaksana adil, mampan

Hartal Doktor Kontrak mahu kerajaan selesaikan isu seperti elaun perpindahan dan cadang penyerapan automatik ke jawatan tetap selepas tempoh perkhidmatan tertentu.

Hartal Doktor Kontrak berkata tambah baik sistem menjamin kestabilan kerjaya serta mengurangkan penghijrahan tenaga kerja kesihatan. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan menggesa kerajaan memastikan sistem penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap dilaksanakan secara adil dan mampan bagi menjamin kestabilan kerjaya serta mengurangkan penghijrahan tenaga kerja kesihatan.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK) Dr Muhammad Yassin menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam bahawa seramai 4,500 doktor kontrak akan ditawarkan jawatan tetap tahun depan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih banyak isu berbangkit perlu diselesaikan, termasuk ketiadaan elaun perpindahan apabila doktor dipindahkan jauh dari lokasi asal, termasuk ke Sabah dan Sarawak selepas diserap ke jawatan tetap.

“Mereka tidak layak menuntut elaun perpindahan atau kos berkaitan yang kadang-kala boleh mencecah sehingga RM10,000.

“Ini menjadi beban besar kepada doktor muda dan antara punca utama mereka menolak tawaran tetap walaupun sudah lama menanti peluang tersebut,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, kerajaan wajar mempertimbangkan penambahbaikan dalam pelaksanaan tawaran jawatan tetap supaya tidak membebankan golongan muda yang baru memulakan kerjaya dalam sektor kesihatan awam.

Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata, sejak 2023 kerajaan telah meluluskan 1,500 jawatan tetap tambahan bagi tujuan sama.

Yassin menyambut baik langkah berkenaan dan menyifatkannya sebagai isyarat positif terhadap keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kekurangan tenaga kerja kesihatan.

“Langkah itu menunjukkan kerajaan sedar sektor kesihatan awam kini berdepan krisis akibat ramai doktor kontrak meninggalkan sistem untuk mencari peluang lebih baik di dalam dan luar negara,” katanya.

Namun beliau berkata, kerajaan perlu melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan mekanisme penyerapan automatik bagi doktor kontrak selepas berkhidmat untuk tempoh tertentu.

“Contohnya selepas tiga tahun berkhidmat, doktor kontrak seharusnya diserap secara automatik menjadi penjawat tetap. Ini akan memberi jaminan kerjaya serta membantu mengurangkan kadar penghijrahan tenaga kerja perubatan,” katanya.

Yssin turut menyambut baik kenaikan elaun tugas atas panggilan (ETAP) sebanyak 40% yang berkuat kuasa 1 Okt lalu yang membabitkan perbelanjaan RM120 juta.

“Kenaikan elaun itu sudah tentu akan meningkatkan semangat doktor, namun kami masih menunggu taklimat penuh daripada Kementerian Kesihatan mengenainya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.