Hamzah tepis kritikan Duta Indonesia berkait MoU amah

Hamzah tepis kritikan Duta Indonesia berkait MoU amah

Menteri Dalam Negeri berkata beliau sudah berbincang isu itu dengan rakan sejawatannya ketika lawatan kerja ke Jakarta bulan lalu.

Hamzah Zainudin berkata, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Petahana Hermono sepatutnya bertanya kepada menteri republik itu jika beliau tidak tahu perkembangan berhubung MoU pengambilan pembantu rumah. (Gambar AFP)
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin menepis kritikan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Petahana Hermono bahawa Jabatan Imigresen Malaysia tidak memberi kerjasama penuh dalam rundingan memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pembantu rumah dari republik itu.

Katanya, beliau sudah membincangkan isu itu dengan rakan sejawatannya ketika lawatan kerja ke Jakarta bulan lalu.

“Dia tidak berpuas hati? Saya nak maklumkan yang berbincang ini antara saya dengan menteri dia.

“Kalau dia tidak tahu, dia tanyalah dengan menteri dia. Takkan saya menteri, saya jumpa menteri dia, saya kena beritahu (Hermono).

“Siapa lebih besar, menteri dia lebih besar atau dia yang lebih besar?” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata demikian ketika minta mengulas rasa tidak puas hati Hermono atas pembabitan terhad Jabatan Imigresen Malaysia dalam rundingan MoU itu, selain menghantar pegawai yang tidak boleh membuat keputusan ke mesyuarat berkenaan.

Hermono dilaporkan berkata, Indonesia memerlukan komitmen politik daripada Malaysia bahawa MoU pengambilan pembantu rumah dari republik itu dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya sebelum ia dimeterai.

Pada masa ini katanya, Indonesia hilang kepercayaan terhadap komitmen itu kerana pihak utama yang akan menguatkuasakan MoU berkenaan, iaitu Jabatan Imigresen Malaysia hanya terbabit dalam beberapa siri rundingan.

FMT meminta Hamzah dan Khairul mengulas dakwaan Hermono, tetapi hanya Hamzah yang menjawab.

Dalam perkembangan lain, Hamzah mengesahkan penahanan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Mohamed Khairuzzaman di kediamannya di Ampang pagi semalam.

“Mengikut perundangan, kalau ada kesalahan kita tangkap.

“Kalau ada permintaan dari negara asal, kita rasa ada kebenarannya, kita lakukan (tangkapan). Segala apa yang kita lakukan adalah mengikut prosedur,” katanya tanpa menjelaskan alasan penahanan Mohamed.

Mohamed adalah bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia dari 2007 hingga 2009 dan kini merupakan pelarian berdaftar di bawah UNHCR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.