PPM rampas 10,160 karton rokok bernilai RM1.47 juta

PPM rampas 10,160 karton rokok bernilai RM1.47 juta

Serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah tidak berpenghuni dalam Op Kontraban pada jam 8 malam.

Komander PPM Wilayah Satu Shamsol Kassim, berkata rokok tersebut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. (Gambar PPM)
IPOH:
Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 9,600 karton rokok putih dan 560 karton rokok kretek disyaki seludup dianggarkan bernilai RM1.47 juta termasuk cukai dalam Op Kontraban, di sebuah rumah di Pasir Puteh, di sini malam tadi.

Komander PPM Wilayah Satu Shamsol Kassim, berkata bertindak atas maklumat awam, pihaknya menyerbu rumah tidak berpenghuni disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok berkenaan pada jam 8 malam.

“Selepas memantau selama 24 jam, didapati tiada individu tampil ke rumah tersebut.

“Oleh itu, polis terpaksa memecahkan pintu belakang premis berkenaan dan pemeriksaan lanjut menemukan beberapa kotak rokok pelbagai jenis tanpa cukai kastam yang disimpan di setiap bilik dalam rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Shamsol berkata, semua rokok jenama Paradox, D&J, Zon King dan DJarum Superwave yang disimpan dalam 199 kotak itu disyaki untuk edaran pasaran tempatan.

“Kesemua rokok telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.