Pemaju ingin selesai isu Melaka Gateway luar mahkamah

Pemaju ingin selesai isu Melaka Gateway luar mahkamah

Ia melibatkan pertikaian undang-undang antara syarikat pemaju KAJ Development Sdn Bhd dengan kerajaan negeri Melaka berhubung penamatan projek penambakan laut Melaka Gateway.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan bercampur premier merangkumi tiga pulau buatan dan satu pulau semula jadi merangkumi kawasan seluas 522 hektar di Selat Melaka. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syarikat pemaju KAJ Development Sdn Bhd mahu menyelesaikan pertikaian undang-undang dengan kerajaan negeri Melaka membabitkan penamatan projek penambakan laut Melaka Gateway bernilai berbilion ringgit di luar mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili kerajaan negeri ketika dihubungi media berkata, menerusi prosiding di Mahkamah Persekutuan, hari ini, peguam KAJ Development, Loh Siew Cheang memohon mahkamah menangguhkan pendengaran permohonan syarikat untuk mendapatkan kebenaran bagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan.

Menurutnya, peguam itu memaklumkan bahawa anak guamnya mahu menyelesaikan pertikaian di luar mahkamah.

Katanya, mereka tidak membantah permohonan KAJ Development sebelum mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh baharu pendengaran permohonan kebenaran itu pada 18 Mei ini.

Mahkamah Tinggi Melaka pada 17 Feb tahun lalu menolak permohonan KAJ Development untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman selepas mendapati keputusan kerajaan negeri itu tidak membabitkan elemen undang-undang awam.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 9 April tahun sama, lapor Berita Harian.

Prosiding hari ini dijalankan melalui aplikasi Zoom di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf serta Abdul Rahman Sebli dan Mary Lim Thiam Suan.

KAJ Development memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman pada 4 Dis 2020 selepas perjanjian projek penambakan laut dengan kerajaan Melaka ditamatkan.

Perjanjian itu, yang ditandatangani pada Oktober 2017, terdiri daripada konsesi tiga tahun untuk penambakan tanah pulau yang akan membentuk asas bagi projek Melaka Gateway bernilai berbilion ringgit yang membabitkan pelabuhan mega dan zon ekonomi perdagangan bebas.

KAJ Development memohon perintah mahkamah untuk mengetepikan arahan kerajaan negeri yang mengeluarkan notis penamatan bertarikh 11 November 2020.

Syarikat itu juga memohon perisytiharan bahawa notis penamatan itu adalah terbatal dan tidak sah kerana ia melanggar Seksyen 7 dan 9(1) Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan bercampur premier merangkumi tiga pulau buatan dan satu pulau semula jadi merangkumi kawasan seluas 522 hektar di Selat Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.