

Profesor Madya Anantha Raman Govindasamy dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata tindakan berkenaan mungkin didorong Bersatu sebenarnya tidak mempunyai sokongan akar umbi seperti Umno.
Muhyiddin, katanya, mungkin sudah tahu beliau berisiko tinggi kalah di kerusi itu yang mampu mencetuskan kesan domino, sekali gus menyumbang kepada kejatuhan gabungan PN.
“Keputusan beliau tidak bertanding juga adalah cara untuk melanjutkan hayat Bersatu dan PN dalam politik Malaysia,” katanya kepada FMT.
Anantha berkata, Muhyiddin mungkin berwaspada terhadap cakap-cakap lebih ramai wakil rakyat merancang melompat ketika ketegangan dalam Bersatu memuncak.
Baru-baru ini, Ketua Bersatu Bahagian Tebrau dan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang, penyandang DUN Larkin, Mohd Izhar Ahmad dan lebih 300 ahli Bersatu Bahagian Tanjung Piai keluar parti.
Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri dilaporkan berkata, keputusan Muhyiddin tidak mempertahankan kerusi Gambir bertujuan memberi tumpuan untuk memperkukuhkan jentera gabungan itu demi mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor nanti.

Dalam pada itu, James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania, berkata keputusan Muhyiddin tidak bertanding pada PRN Johor tidak akan menjejaskan kedudukannya dalam parti.
“Ketika ini, tiada seorang pun dalam parti mampu mengambil alih kedudukannya. Beliau terlalu senior,” katanya.
Beliau berkata, walaupun ramai berpandangan keputusan Muhyiddin enggan bertanding ialah isyarat kelemahan, namun perkara itu tidak penting buat masa ini.
“Jika ada, ia hanya akan menjejaskan parti pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Itu akan menjadi kekalahan terbesar Bersatu,” katanya.