
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum daripada Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS).
“Saya berjumpa Presiden kesatuan dan kami meneliti tuntutan memorandum berkenaan.
“Kementerian akan berusaha mencari penyelesaian menyeluruh selepas perbincangan lanjut,” katanya di luar pejabat kementerian itu hari ini.
Khairy mengakui pekerja terbabit, yang kebanyakannya pekerja pembersihan hospital, merupakan barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19.
Kesatuan itu menuntut pekerja kontrak hospital dan pekerja sokongan dimasukkan semula dalam perkhidmatan awam seperti sebelum 1997.
Mereka juga mahu gaji dan syarat kerja lebih baik selepas tidak menerima sebarang kenaikan gaji atau elaun Covid-19 semasa pandemik.
Kesatuan itu turut memohon campur tangan kementerian dalam syarikat yang tidak menggalakkan aktiviti kesatuan sekerja selepas pekerja mendakwa diancam dan diugut oleh majikan mereka.
Presiden NUWHSAS, Roziah Hashim berkata, perbincangan dengan Khairy mengambil masa kira-kira 30 minit.
“Kami telah melakukan tanggungjawab kami dan berharap kementerian komited untuk memenuhi tuntutan kami,” katanya.
Konvoi motosikal 25 pekerja itu memulakan perjalanan dari Pulau Pinang ke Putrajaya pada Sabtu lalu.