
Menyifatkan kenaikan tarif di bawah mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) itu sebagai “mengejutkan”, kumpulan itu berkata, keadaan boleh dinilai semula “apabila situasi tenaga menjadi lebih jelas”.
Mereka berkata, kenaikan caj elektrik diumumkan tanpa berbincang dengan pihak berkepentingan dan pengguna.
“Kenaikan ini sangat mengejutkan, iaitu lebih 15% atau sehingga 25% pada tarif luar puncak. Kos ini sangat besar dan pada masa yang terbaik sekalipun, ia tidak mungkin dapat diserap oleh perniagaan,” kata mereka dalam kenyataan bersama.
Tambahnya, pada masa kritikal ini, ketika semua perusahaan, besar mahupun kecil, masih bergelut dalam mod kelangsungan hidup dan kebangkitan semula, kenaikan ini boleh menjadi permulaan kemusnahan banyak perniagaan.
Pada 1 Feb, surcaj sebanyak 3.7 sen/kWj dikenakan ke atas semua pengguna bukan domestik seperti syarikat komersial dan perindustrian.
Kumpulan itu berkata, jangkaan kenaikan kos barangan dan perkhidmatan akan menyekat dan mengurangkan lagi keupayaan mereka untuk membeli, membantutkan jumlah dan melembabkan kadar pusing ganti.
“Kami faham kos bahan api telah meningkat disebabkan terutamanya oleh gangguan rantaian bekalan dan ditambah dengan permainan perdagangan geopolitik.
“Bagaimanapun, sebaik sahaja rantaian bekalan dipulihkan dan keadaan kembali normal, kuasa pasaran akan menyebabkan harga pemangsaan berkurangan dan persaingan wujud,” kata mereka.
Tambahnya, ketika gangguan jangka pendek yang boleh diramal ini, adalah lebih berhemat bagi kerajaan campur tangan dan menyediakan sokongan bagi “kesakitan sementara” ini dan tidak membebankan pengguna.
Mereka berharap kerajaan tidak akan memacu dan melanjutkan inflasi.
“Pada masa ini, walaupun tanpa kenaikan tarif elektrik yang belum pernah berlaku, tetapi hanya disebabkan gangguan rantaian bekalan, tekanan inflasi sudah dialami oleh semua pengguna,” kata mereka.