NGO desak Peguam Negara siasat kematian dalam tahanan

NGO desak Peguam Negara siasat kematian dalam tahanan

Ia susulan tujuh kematian dilaporkan dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini.

Tujuh kematian dalam tahanan dilaporkan dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Peguam Negara menyiasat setiap kematian dalam tahanan yang berlaku dalam negara, susulan tujuh kematian dalam tahanan dilaporkan dalam tempoh lima minggu pertama tahun ini.

Rakyat Bantah Penghilangan Paksa (CAGED) menggesa pihak berkuasa menjelaskan beberapa persoalan yang dikaitkan dengan kes kematian dalam tahanan.

Katanya, dalam salah satu kes, polis mendedahkan bahawa dua tahanan dan dua pegawai polis direman untuk membantu siasatan, namun reman mereka tamat pada 20 Jan.

“Adakah sesiapa telah didakwa?” soalnya dalam kenyataan.

Mereka turut bertanya sama ada polis sudah menyiasat mana-mana suspek dalam enam lagi kes.

CAGED juga mempersoalkan sama ada laporan siasatan lengkap akan diserahkan kepada koroner dalam tempoh satu bulan setiap kematian seperti yang dijanjikan oleh Ketua Polis Negara untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan itu.

“Adakah polis akan meminta koroner menjalankan siasatan ke atas semua kematian dalam tahanan?” soalnya lagi.

Menurutnya, Seksyen 334 Kanun Tatacara Jenayah mewajibkan setiap kematian dalam tahanan polis dimaklumkan kepada koroner.

Sementara itu, CAGED turut menekankan ketidakcekapan pihak berkuasa dalam pendedahan insiden kematian dalam tahanan.

“Sebagai contoh, etnik mangsa didedahkan hanya dalam empat daripada tujuh kes dan tarikh reman belum dikeluarkan untuk mangsa keenam.”

Katanya, nama mangsa juga dirahsiakan oleh polis dan ia menuntut pihak polis menjelaskan mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.