Lokman Adam padam catatan berkait Ketua Hakim Syarie di media sosial

Lokman Adam padam catatan berkait Ketua Hakim Syarie di media sosial

Lokman Adam memadam hantaran itu dalam tempoh 24 jam sepertimana diarahkan mahkamah pada 20 Jan lalu, selepas Na’im memperoleh injunksi 'ex-parte'.

Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar memfailkan saman atas kapasiti peribadi bagi menuntut ganti rugi RM30 juta daripada Lokman Adam, berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita.
KUALA LUMPUR:
Lokman Noor Adam memadam semua catatan yang dikatakan berunsur fitnah terhadap Ketua Hakim Syarie Mohd Na’im Mokhtar, berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuatnaik di Facebook dan YouTube.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili Na’im ketika dihubungi pemberita berkata, Lokman selaku defendan memadam catatan tersebut dalam tempoh 24 jam sepertimana diarahkan oleh mahkamah pada 20 Jan lalu, setelah anak guamnya memperoleh injunksi ex-parte (sebelah pihak).

Dalam saman fitnah difailkan pada 17 Jan lalu, Na’im selaku plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya Lokman sebagai defendan memadam video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

Akberdin berkata, pada prosiding hari ini yang berlangsung secara dalam talian, Hakim Rozana Ali Yusoff membenarkan permohonan Na’im supaya injunksi ‘ex-parte’ yang diperolehnya itu dilanjutkan sehingga tarikh pendengaran injunksi ‘inter-parte’ (antara pihak) pada 22 Mac.

“Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran injunksi inter-parte, namun ditangguhkan kerana peguam mewakili Lokman memohon tempoh masa untuk memfailkan afidavit jawapan dalam permohonan injunksi itu.

“Oleh itu, pihak plaintif memohon agar perintah injunksi interim diperoleh anak guam saya dilanjutkan sehingga tarikh pendengaran injunksi inter-parte pada 22 Mac dan mahkamah membenarkan permohonan itu selain mengarahkan defendan memfailkan afidavit jawapan tersebut sebelum atau pada 11 Feb ini,” katanya.

Na’im, 54, memfailkan saman atas kapasiti peribadi bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Jan dan 13 Jan lalu.

Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Jan dan 14 Jan, selain memuatnaik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Jan dan 13 Jan lalu.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat, serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuatnaik di media sosial.

Prosiding hari ini turut disertai peguam Fazilah Jaafar yang mewakili Lokman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.