
Sumber berkata, lelaki dalam lingkungan 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan.
“Suspek dipercayai melakukan kesalahan dengan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM300,000 kepada sebuah agensi kerajaan di Kota Kinabalu sekitar 2018 membabitkan tiga tuntutan berasingan.
“Tuntutan tersebut melibatkan tiga program yang dilaksanakan di kolej tersebut, dengan beliau membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar, sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menghabiskan kursus tersebut,” katanya.
Sementara itu Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Katanya, tiada permohonan reman dibuat terhadap suspek dan lelaki itu dilepaskan pada hari sama selepas memberi keterangan.
Beliau berkata, jaminan ditetapkan pada RM5,000 dengan seorang penjamin.
“Suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya.