SPRM nafi dakwaan wujud ‘mafia korporat’

SPRM nafi dakwaan wujud ‘mafia korporat’

Suruhanjaya itu menegaskan dakwaan berkenaan tidak berasas dan mencemarkan kredibiliti siasatan babit sektor korporat.

macc sprm
SPRM berkata dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ mula tular melalui sebuah blog tanpa nama penulis.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan Bloomberg yang mendakwa sebahagian pegawainya terlibat dalam satu rangkaian digelar ‘mafia korporat’ yang kononnya terlibat dalam pengambilalihan syarikat.

SPRM menjelaskan dakwaan itu sebenarnya bermula daripada satu blog dalam talian yang tidak menyatakan identiti penulis, dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas serta berniat jahat, lapor Sinar Harian.

Menurut SPRM, penyebaran dakwaan palsu itu dipandang serius kerana boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan mengikut undang-undang.

“Dakwaan ini adalah cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh SPRM dalam sektor korporat,” katanya.

SPRM turut menjelaskan dakwaan itu sebagai isu lama yang dibangkitkan semula dengan tujuan merosakkan imej dan reputasi agensi antirasuah itu.

Suruhanjaya itu menegaskan semua siasatan dijalankan berasaskan bukti, mengikut landasan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan.

SPRM turut memaklumkan polis sedang menyiasat dakwaan berkenaan yang disifatkan sebagai fitnah.

“SPRM akan memberi kerjasama penuh kepada polis bagi memastikan fakta dan kebenaran dapat dikenal pasti.

“SPRM juga menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti berkaitan rasuah atau penyalahgunaan kuasa supaya membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa,” katanya.

SPRM menegaskan ia kekal komited melaksanakan tanggungjawab membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih, serta tidak akan terjejas oleh cubaan mencemarkan integriti atau mengganggu fungsinya.

Kenyataan itu dibuat susulan tekanan yang semakin meningkat supaya satu siasatan dijalankan terhadap laporan Bloomberg yang mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM menggunakan serbuan serta siasatan bagi menekan eksekutif supaya menjual saham dalam syarikat sasaran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, sebelum ini menolak dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai tidak berasas dan bersumberkan maklumat yang tidak boleh dipercayai.

Beliau turut meminta pihak yang mempunyai bukti membuat laporan polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.