Warga asing bawa lari RM15,000 milik pengusaha restoran ditahan

Warga asing bawa lari RM15,000 milik pengusaha restoran ditahan

Menurut polis, suspek ditangkap kira-kira 4 petang semalam di tempat kejadian susulan laporan polis oleh pengusaha restoran berkenaan.

Rakaman CCTV di restoran pada 11.15 pagi menunjukkan suspek kelihatan mundar-mandir di kaunter restoran sebelum bertindak mengambil beg tangan yang diletakkan di sebalik kaunter. (Gambar Polis)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pelanggan warga asing selepas beberapa jam melarikan wang milik pengusaha sebuah restoran di Jalan Tenggiri 17/23, Seksyen 17, Shah Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditangkap kira-kira 4 petang di tempat kejadian susulan laporan polis oleh pengusaha restoran berkenaan.

Katanya, pemilik restoran telah membuat laporan polis semalam dengan menganggarkan jumlah kerugian RM15,000 selepas wang dalam beg tangan hilang.

“Suspek adalah lelaki warga Indonesia dikenal pasti sebagai pelanggan yang sering ke restoran berkenaan.

“Pasukan polis Balai Sri Muda mengesan dan menangkap suspek yang berumur 36 tahun dan bekerja sebagai buruh binaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Baharudin berkata, dalam tangkapan itu, polis merampas beg tangan mangsa bersama wang tunai untuk siasatan lanjut dan ketika tangkapan ke atas suspek, jumlah wang dijumpai semula sebanyak RM9,500 di mana suspek mengaku sempat membelanjakan wang itu.

Beliau berkata, permohonan reman dibuat terhadap suspek untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di restoran pada 11.15 pagi, suspek kelihatan mundar-mandir di kaunter restoran sebelum bertindak mengambil beg tangan yang diletakkan di sebalik kaunter, memasukkan ke dalam bajunya dan melarikan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.