Harga minyak sawit ditetapkan pasaran, bukan hubungan kerajaan, kata Kok

Harga minyak sawit ditetapkan pasaran, bukan hubungan kerajaan, kata Kok

Bekas Menteri Industri Utama menolak dakwaan Wee Ka Siong bahawa harga turun kerana hubungan buruk kerajaan Pakatan Harapan dengan India dan China.

Teresa Kok menafikan hantaran Facebook Wee Ka Siong yang mendakwa hubungan buruk bekas kerajaan PH dengan India dan China menyebabkan harga minyak sawit jatuh ketika itu.
PETALING JAYA:
Bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok, menafikan hubungan buruk bekas kerajaan Pakatan Harapan dengan negara seperti India dan China menyebabkan harga minyak sawit jatuh pada masa itu.

Beliau berkata, turun naik harga adalah disebabkan oleh faktor seperti penawaran dan permintaan, cuaca global, hasil pengeluaran, harga tanaman minyak lain, serta dasar pengeluar, pengimport dan sebagainya.

Kenyataan beliau adalah sebagai respons kepada hantaran Facebook Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong yang berkata pekebun kecil sawit memberitahunya mereka gembira kerana harga buah sawit kini menjangkau RM1,200 bagi satu tan metrik berbanding RM330 pada November 2019.

Wee berkata harganya telah turun ketika itu kerana masalah diplomatik antara kerajaan PH dengan India dan China.

Kok berkata bahawa Wee, sebagai anggota Kabinet, harus tahu bahawa harga ditetapkan oleh pasaran dan bukan ditentukan oleh hubungan diplomatik.

Beliau berkata kenaikan harga minyak sawit semasa boleh dikaitkan dengan sekatan eksport Indonesia, yang menyebabkan lonjakan permintaan antarabangsa.

Walau bagaimanapun, ramai pekebun kecil tidak dapat menikmati harga yang lebih tinggi sepenuhnya kerana kenaikan kos baja dan racun perosak dan penurunan dalam pengeluaran disebabkan oleh kekurangan pekerja.

“Jika Wee ikhlas mahu membantu penanam kelapa sawit di Johor, saya cabar dia meluluskan permohonan pekerja asing bekerja di ladang kelapa sawit Johor dalam tempoh sebulan, selain memberi subsidi harga baja,” kata Kok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.