Saya pulangkan Vellfire selepas berhenti jadi menteri, kata Maszlee

Saya pulangkan Vellfire selepas berhenti jadi menteri, kata Maszlee

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, kenderaan berkenaan kini digunakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, syarikat yang pernah menjadi agensi KPM.

Maszlee Malik berkata beliau kini menggunakan sebuah Perodua Myvi sebagai kenderaan rasminya.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik berkata, beliau telah menyerahkan kembali kenderaan Toyota Vellfire yang sebelum ini dikatakan diterimanya dari sebuah syarikat di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) semasa menjadi menteri.

“Saya telah serahkan kereta yang mereka sebutkan itu pada hari saya berhenti,” katanya, lapor Utusan Malaysia.

“Kenderaan itu milik EMGS, yang merupakan agensi KPM, atau sekarang di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya hanya gunakan kenderaan itu sewaktu saya masih seorang menteri. Kereta itu dipulangkan dan terus digunakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif EMGS.”

Kata Maszlee, beliau kini menggunakan sebuah Perodua Myvi sebagai kenderaan rasminya.

Beberapa media memetik sumber sebelum ini melaporkan, Maszlee didakwa menerima Vellfire tersebut serta sejumlah wang dari sebuah syarikat semasa beliau menjadi menteri.

SPRM memaklumkan dua aduan telah diterimanya berhubung kesalahan rasuah dan penyelewengan membabitkan Maszlee dan siasatan sedang dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.