PH belum bincang calon MB Johor, kata Anwar

PH belum bincang calon MB Johor, kata Anwar

Pengerusi PH berkata apa yang lebih penting pada masa ini adalah membincangkan soal memastikan kemenangan PH pada pilihan raya itu.

Anwar Ibrahim berkata perkara paling penting adalah soal memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada PRN Johor.
JOHOR BAHRU:
Pakatan Harapan (PH) belum membuat sebarang perbincangan mengenai calon Menteri Besar, sekiranya gabungan itu menang pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi PH yang juga Presiden PKR itu berkata apa yang lebih penting pada masa ini adalah untuk membincangkan soal memastikan kemenangan PH pada pilihan raya itu.

“Soal calon (untuk bertanding) pun belum putus…calon-calon setakat ini orang Johor dan yang ada keluarga di Johor, saya pun ada keluarga di Johor…tapi saya tidak (bertanding),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pemuda PKR PRN Johor.

Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai khabar angin mengenai kemungkinan PH akan meletakkan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik, yang juga bekas Menteri Pendidikan sebagai calon Menteri Besar Johor.

Ditanya mengenai kerjasama dengan MUDA, Anwar berkata rundingan kerjasama itu kini dibuat di peringkat kepimpinan negeri dan setakat ini MUDA belum memberitahu jumlah kerusi yang dimahukan.

Semalam, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata perbincangan dan rundingan antara MUDA dengan PH berhubung kerjasama dalam PRN Johor, disifatkan berjalan lancar.

Sementara itu pada majlis berasingan, Anwar berkata rakyat seharusnya menolak wakil rakyat yang melompat parti dan menyifatkan golongan itu sebagai pengkhianat parti.

“Masa berkempen orang bekerja (jentera) setengah mati dan tiada bayaran, tetapi apabila menang, dia senang, dia khianat… jangan maafkan orang begini.

“Khianat kepada parti ini boleh sampai menyebabkan jatuh kerajaan. Sebab itu kita harus teliti betul-betul orang yang kita rasa yakin, setia dengan perjuangan parti dan berprinsip, ini maruah dan integriti serta nilai etika (yang) kita tidak boleh ketepikan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.