Penunggang motosikal lawan arus parah bertembung kereta

Penunggang motosikal lawan arus parah bertembung kereta

Kejadian itu melibatkan tiga kenderaan iaitu Perodua Bezza, Proton Saga dan sebuah motosikal Honda Wave.

Keadaan motosikal yang rosak teruk selepas dirempuh dua kenderaan lain kerana ditunggang secara melawan arus di Jalan Lingkaran Tengah MRR2 Kampung Pandan pagi tadi (Gambar polis)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang menunggang motosikal secara melawan arus di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Kampung Pandan menghala Gombak, parah selepas terbabit kemalangan dengan dua kereta, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian kira-kira 5.25 pagi melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Perodua Bezza, sebuah Proton Saga dan sebuah motosikal Honda Wave.

“Hasil siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal dipercayai ditunggang secara melawan arus di lorong tengah MRR2 dan berlanggar dengan Proton Saga yang berada di lorong tengah.

“Kejadian mengakibatkan Perodua Bezza yang berada di belakang tidak sempat brek dan melanggar belakang Proton Saga,” katanya dalam kenyataan.

Farouk berkata, akibat kemalangan itu penunggang yang berusia 22 tahun parah di muka serta kaki dan menerima rawatan di Zon Merah Hospital Ampang.

Katanya, pemandu kedua-dua kereta bagaimanapun idak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.