
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Hazani Ghazali berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit membayar sindiket sebanyak RM1,300 untuk menyeludup masuk ke negara ini.
Katanya, pendatang-pendatang ini bukan miskin kerana mereka mampu membayar jumlah itu.
“Untuk datang ke Malaysia, mereka perlu ada beribu-ribu ringgit, bermakna mereka ada wang,” katanya kepada FMT.

Hazani berkata demikian sebagai respons kepada bekas menteri, P Waytha Moorthy, yang mengkritik cadangan untuk mengenakan hukuman sebat terhadap PATI, menyifatkan mereka sebagai “buruh miskin yang berhempas pulas mencari nafkah menampung kehidupan.”
Hazani mempertahankan cadangan kontroversinya, yang mendapat bantahan daripada seorang Ahli Parlimen pembangkang dan kumpulan hak migran, dengan berkata, undang-undang memperuntukkannya.
“Terdapat peruntukan (undang-undang) untuk kesalahan itu dalam Akta Imigresen,” katanya.
“Beliau (Waytha) seorang peguam. Adakah beliau tidak sedar mengenai perkara ini?”
Akta Imigresen memperuntukkan hukuman maksimum denda RM10,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan sehingga enam sebatan bagi kemasukan secara haram.
Hazani berkata, pihak berkuasa boleh mengesyorkan supaya pihak pendakwa menuduh pesalah mengikut Seksyen 6(3) akta tersebut.
Tegasnya, ini adalah bagi pesalah berulang.
Beliau berkata, terdapat tiga undang-undang yang boleh digunakan terhadap ahli sindiket yang menyeludup masuk PATI, iaitu undang-undang berhubung pemerdagangan manusia, akta kesalahan keselamatan, dan undang-undang berkait pengubahan wang haram.