Tarif elektrik pengguna bukan domestik perlu dinaikkan secara berperingkat, kata Najib

Tarif elektrik pengguna bukan domestik perlu dinaikkan secara berperingkat, kata Najib

Kenaikan yang dicadangkan ialah sebanyak 5% bagi setiap enam bulan sekali gus memberi pulangan besar kepada kerajaan dan mengurangkan inflasi.

Najib Razak berkata, kenaikan kadar elektrik yang tinggi secara mendadak akan mengakibatkan kos operasi meningkat dan akhirnya menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kepada orang ramai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak percaya kenaikan kadar elektrik bagi penggunaan komersil dan industri perlu dilaksanakan secara berperingkat.

“Kenaikan tarif elektrik secara berperingkat, iaitu setiap enam bulan sebanyak 5% adalah lebih baik,” katanya di Facebook hari ini.

Pada 1 Feb lalu, kadar surcaj 3.7 sen/kWj dikenakan ke atas semua pengguna bukan domestik termasuk perniagaan dan syarikat industri.

Najib berkata, bergantung kepada penggunaan berbeza bagi perniagaan komersial dan perindustrian, kos elektrik boleh meningkat sebanyak 15% dengan surcaj baharu itu.

Beliau memberi amaran, kenaikan kadar elektrik yang tinggi secara mendadak akan mengakibatkan kos operasi meningkat dan akhirnya menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan kepada orang ramai.

Katanya, peningkatan secara beransur-ansur dari semasa ke semasa akan memberikan pulangan terbesar kepada kerajaan, penjimatan untuk orang ramai dan mengurangkan risiko inflasi.

Suruhanjaya Tenaga sebelum ini berkata, kos elektrik meningkat sebanyak 45% berikutan harga arang batu yang digunakan untuk menghasilkan tenaga lebih tinggi.

Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada pengguna, terutama perniagaan, perlu membayar lebih untuk meningkatkan keuntungan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, sebelum kenaikan, TNB merekodkan peningkatan hasil dan pendapatan masing-masing sebanyak 9.6% dan 4.6% bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir 30 Sept 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.