
Beliau berkata, polis sepatutnya menangani dua isu membabitkan punca PATI masuk ke sempadan negara secara haram dan mengekang ejen pengambilan mengeksploitasi mereka.
Waytha, yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia berkata, polis juga perlu menyiasat agensi yang mengenakan bebanan kewangan terhadap migran dan mengeksploitasi kelemahan golongan berkenaan.
“Sebetulnya, agensi pengambilan pekerjaan sepatutnya menjadi sasaran siasatan berhubung keselamatan negara, bukannya buruh miskin yang berhempas pulas mencari nafkah untuk kehidupan.
“Polis sepatutnya bertanyakan diri mereka secara jujur, bagaimana boleh pintu masuk negara bocor. Ancaman sebenar kepada keselamatan negara ada di situ.
“Janganlah kita lencongkan perhatian daripada isu sebenar membabitkan kelemahan penguatkuasaan dan memastikan sempadan kita dilindungi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau juga menuduh pegawai kanan polis yang membuat ulasan berkenaan sebagai tidak mengetahui nasib buruh kasar terbabit.
“Mereka menyumbang kepada ekonomi negara selepas rakyat kita sendiri tidak mahu bekerja dalam sektor yang dianggap bahaya, kotor dan rendah.”
Waytha berkata, hukuman dera seperti rotan adalah kuno dan diperkenalkan oleh kuasa kolonial British bertujuan mengawal kelas buruh, namun ia tidak pernah dilaksanakan di negara mereka sendiri.
Baru-baru ini, seorang pegawai kanan polis mencadangkan kepada kerajaan supaya mengenakan hukuman sebat ke atas PATI yang melakukan kesalahan berulang menggunakan pangkalan haram masuk ke negara ini tanpa permit sah.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Hazani Ghazali berkata, pendekatan itu merupakan satu bentuk pengajaran kepada PATI supaya tidak berbuat demikian pada masa akan datang.
Undang-undang imigresen ketika ini memperuntukan hukuman sebat ke atas sesiapa yang masuk ke negara ini secara haram.