Pusat judi dikepalai warga Bangladesh diserbu, 5 lelaki ditahan

Pusat judi dikepalai warga Bangladesh diserbu, 5 lelaki ditahan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Habibi Majinji, berkata pusat berkenaan beroperasi di tingkat 40, di pangsapuri disewa, terletak di Jalan Klang Lama.

Polis menahan lima individu termasuk merampas beberapa komputer dan telefon bimbit di pusat judi secara atas talian di tingkat 40, di pangsapuri di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Polis menyerbu pusat judi atas talian yang beroperasi di pangsapuri terletak di Jalan Klang Lama, di sini, yang menyasarkan pelanggan dari Bangladesh.

Serbuan itu dilakukan sehari selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan, mengumumkan polis sudah menyerbu 826 premis yang terbabit dalam operasi perjudian, sejak 15 Jan.

Bercakap kepada pemberita di lokasi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Habibi Majinji, berkata pusat terbabit mampu mengutip deposit berjumlah RM10,000 sehari daripada pelanggannya.

Beliau berkata, pusat berkenaan beroperasi di tingkat 40, di pangsapuri disewa.

“Hasil serbuan menyaksikan penangkapan lima lelaki warga Bangladesh, selain merampas beberapa komputer dan telefon bimbit,” katanya.

Seorang daripada pekerja di pusat operasi itu mendakwa ada ejen warga Bangladesh menawarkannya pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan selepas dia kehilangan kerja beberapa bulan sebagai pekerja buruh binaan di pusat bandar.

Katanya, dia sudah bekerja selama dua bulan sejak pusat perjudian itu beroperasi.

Habibi berkata, sejak bulan lalu, Polis Kuala Lumpur sudah melakukan serbuan di 110 premis termasuk menahan 306 individu, yang mana 156 sudah dikenakan tuduhan. Baki lain masih disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.