Nahas maut 4 beranak, pemandu pikap akan didakwa hari ini

Nahas maut 4 beranak, pemandu pikap akan didakwa hari ini

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar suspek berusia 44 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Kemalangan maut yang mengorbankan suri rumah, Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya dalam kejadian di Bentong, 28 Januari lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lelaki positif dadah yang terbabit dalam kemalangan maut yang meragut nyawa empat sekeluarga dalam kejadian di Kilometer 2 Jalan Lebu-Mempaga, Bentong, 28 Januari lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Bentong jam 9 pagi ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Mohd Kahar, suspek berusia 44 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

“Kertas siasatan kes diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Bentong dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Bentong 9 pagi (hari ini).

“Atas arahan Timbalan Pendakwa Raya, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh empat individu (dalam kemalangan itu),” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Harian Metro.

Media sebelum ini melaporkan suspek terbabit ditahan reman untuk siasatan selepas selesai menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh.

Zaiham yang dipetik sebagai berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam kenderaan dinaiki suspek yang mempunyai tujuh rekod berkaitan dadah menemui satu tiub straw lut sinar mengandungi syabu.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, suri rumah, Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan, 4, dilaporkan maut selepas kenderaan mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika ingin menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dinaiki keluarga terbabit melakukan perjalanan dari Gua Musang sebelum dirempuh pacuan empat roda Nissan Navara dipandu suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.