
Dalam kenyataan hari ini bagi mengulas isu kekurangan bekalan telur ayam di pasaran beliau berkata, terdapat juga ladang ternakan ayam dan telur serta syarikat logistik penghantaran yang tidak beroperasi sepanjang dua hari cuti umum Tahun Baharu Cina, malah ada yang bercuti lebih lama sempena perayaan itu.
Katanya, faktor tersebut menjadi punca kelewatan dalam membekalkan telur dari ladang ke pemborong dan peruncit di beberapa tempat seperti di Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis dan Sarawak.
“KPDNHEP yakin bekalan telur akan kembali stabil dan keberadaannya akan meliputi semua lokaliti di Malaysia apabila ladang pengeluar telur ayam serta syarikat logistik penghantaran beroperasi semula tidak lama lagi,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan terdapat masalah bekalan telur di Terengganu sejak sebulan lalu yang memberi tekanan kepada peniaga serta pengguna.
Menurut Azman, rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 30 juta biji telur ayam sehari atau 930 juta telur sebulan di seluruh negara.
Berdasarkan data pengeluaran telur ayam daripada 50 syarikat yang mewakili 80% pengeluarannya di negara ini, 839,281,658 biji telur ayam dikeluarkan pada Disember 2021, manakala pengeluaran bagi Januari pula diunjurkan sebanyak 839,882,296 biji.
Menurut Azman, sehingga semalam 91% ketersediaan bekalan telur ayam dalam pasaran negara direkodkan, menunjukkan bekalan telur ayam adalah stabil dan mampu memenuhi permintaan semasa pengguna.
Beliau turut menasihatkan pengguna agar tidak membuat pembelian panik atau lebih daripada kebiasaan kerana isu bekalan yang berlaku adalah terpencil dan akan kembali normal serta stabil selepas cuti Tahun Baharu Cina seperti yang dimaklumkan pemain industri.
Katanya, KPDNHEP juga telah mengarahkan semua peruncit memperbaharui stok di premis masing-masing serta menghubungi pemborong dan pengeluar sekiranya stok mereka jatuh ke paras had pesanan semula.
“Kami juga telah mengarahkan supaya peruncit melaksanakan pembelian terhad jika perlu untuk memastikan lebih ramai pengguna dapat membeli telur ayam,” katanya.
Azman berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari terhadap kedudukan bekalan barangan keperluan utama di setiap rantaian pengedaran, iaitu di peringkat pengeluar, pengilang, pemborong dan peruncit.