Sindiket judi dalam talian dikesan jual nama pegawai atasan polis, kata Abd Jalil

Sindiket judi dalam talian dikesan jual nama pegawai atasan polis, kata Abd Jalil

Ada pihak berani menggunakan nama ketua polis balai dan ketua polis daerah mengatakan mereka diberi lampu hijau menganjurkan aktiviti perjudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan, berkata polis menyerbu 826 premis judi dalam talian di seluruh negara dalam Op Dadu Khas sejak 15 Jan, sehingga semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis menafikan memberi kebenaran kepada mana-mana premis judi dalam talian untuk beroperasi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan.

Menurutnya, melalui risikan pihaknya turut mendapati terdapat sindiket-sindiket judi menggunakan nama pihak atasan polis bagi menarik lebih ramai pelanggan untuk berjudi.

Beliau berkata, tindakan sindiket menggunakan nama polis dilakukan bertujuan memberikan rasa ‘selamat’ kepada pelanggan mereka ketika berjudi.

“Saya hendak beritahu di sini, PDRM tidak pernah memberi kebenaran untuk mana-mana premis judi dalam talian ini beroperasi, sindiket perjudian ini berbuat demikian bagi menarik pelanggan berjudi dan memberikan rasa selamat kepada pelanggan mereka ketika berjudi.

“Malah, untuk Tahun Baharu Cina ini juga kita ada terima maklumat terdapat penganjur yang menggunakan nama ketua polis balai dan ketua polis daerah mengatakan mereka diberi lampu hijau untuk menganjurkan aktiviti,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, Jalil berkata, polis menyerbu 826 premis judi dalam talian di seluruh negara dalam Op Dadu Khas sejak 15 Jan, sehingga semalam.

Katanya, dalam tempoh berkenaan juga pihaknya menahan 1,355 individu terdiri daripada penjaga premis dan pemain.

Beliau berkata, dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 2,558 komputer riba dan wang tunai berjumlah kira-kira RM189,000.

Katanya, usaha untuk membasmi perjudian dalam talian adalah sukar berikutan terdapat permintaan tinggi daripada masyarakat.

“Laman web untuk judi dalam talian ini dibuat di luar negara dan PDRM mempunyai kerjasama erat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat laman web ini tetapi laman web yang baharu pula akan muncul,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan kes gangguan seksual membabitkan seorang pendakwah terkenal, Abd Jalil berkata kertas siasatan kini sedang di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.

Jalil berkata, kertas siasatan bagi kes tersebut sebelum ini telah diserahkan kepada pejabat berkenaan bagaimanapun dikembalikan semula.

“Kertas itu kini dalam peringkat akhir siasatan dan pihak polis akan melengkapkannya seberapa segera untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.