
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alwi Ibrahim berkata, berdasarkan catatan minit oleh Zahid pada 18 Okt 2016 yang dihantar kepadanya, ia adalah satu persetujuan.
Catatan minit itu menyatakan: “Datuk Seri KSU/ Datuk PUU, saya tiada halangan pelanjutan kontrak tempoh enam tahun sehingga 31 Ogos 2025 seperti tercatat dalam perjanjian Perkara 2.2.1 yang sedia ada. Sila sediakan perjanjian tambahan untuk merealisasikannya dengan kadar segera”.
Semasa disoal peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu, berdasarkan ayat pada perenggan 10 kenyataan saksi Alwi, 63, (catatan minit Zahid), ia bukan satu arahan tetapi persetujuan, Alwi menjawab: “Setuju.”
Ahmad Zaidi: Apa pemahaman Tan Sri (Alwi) tentang minit Zahid yang menyatakan “merealisasikannya dengan kadar segera?”
Alwi: Pemahaman saya ia perlu dibuat dengan cepat.
Ahmad Zaidi: Berapa cepat, seminggu, dua minggu?
Alwi: Bergantung kepada kontrak sesuatu kes.
Alwi juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa walaupun ia diminitkan (catatan minit Ahmad Zahid) dengan kadar segera, namun ia masih tertakluk pada prosedur di KDN.
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam, iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung pada 7 Mac.