
Petaling Jaya: Kementerian Kewangan digesa meneruskan pengecualian caj RM1 ini sekurang-kurang 1 tahun lagi selepas mengambil kira keadaan semasa rakyat, kata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurutnya, rakyat kini masih bergelut dengan kekurangan tunai dan peluang pekerjaan yang rendah serta harga barangan keperluan asas yang berterusan mencanak naik.
“Malahan tinjauan ekonomi bagi tahun 2022 juga menjangkakan prospek pemulihan ekonomi yang lembab bakal meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Bermula 1 Februari lalu, pihak bank menguatkuasakan kembali caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai antara bank (MEPS) di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Asyraf ketika mengulas lanjut berkata, tindakan terbabit dilihat tidak prihatin terhadap keadaan semasa rakyat yang sedang bergelut dengan keadaan kos sara hidup.
“Sudahlah moratorium pinjaman bank mula berakhir, manakala sehingga hari ini #TuntutanRakyat untuk pengeluaran kali terakhir RM10 ribu wang simpanan KWSP mereka juga masih dipandang sepi oleh kerajaan,” katanya.
Jelas Asyraf, Umno tidak melihat sebarang masalah bagi bank-bank utama tempatan untuk menyerap caj tersebut kerana semakan keuntungan terkumpul bagi tahun 2021 mencapai puluhan billion ringgit.
Beliau turut mendesak Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya lebih berpihak kepada rakyat dengan menarik balik keputusan untuk mengenakan caj pengeluaran ini.