Ditahan bersama pistol, peluru selepas 19 tahun diburu

Ditahan bersama pistol, peluru selepas 19 tahun diburu

Polis berkata pada 2003 suspek pernah meloloskan diri ketika sekatan jalan raya di Gua Musang, selain turut meninggalkan kad pengenalannya selepas diminta.

Serbuan turut dilakukan di rumah suspek kira-kira 200m dari tempat kejadian, dan polis merampas 10,000 pil jenis Epam bernilai RM30,000 serta wang tunai RM54,000 dipercayai wang hasil dadah.
GUA MUSANG:
Polis merampas sepucuk pistol semi auto jenama Zaroki serta dua kelopak peluru berisi 10 butir peluru selepas menahan seorang lelaki dalam keadaan khayal berdekatan dengan keretanya di tepi jalan Kampung Kubang Endang, Bechah Keranji dekat Melor di Kota Bharu Isnin lepas.

Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat, berkata siasatan mendapati penarik kereta berumur 38 tahun yang ditahan pada 9.30 pagi itu merupakan penjenayah yang diburu polis sejak 2003.

Beliau berkata, polis turut menemukan dua bilah pedang samurai dan plastik putih mengandungi dua liter cecair disyaki dadah, selain dua unit telefon bimbit jenama Nokia dan Iphone 5s selepas memeriksa kereta Honda Civic milik suspek.

Katanya, pistol berkenaan ditemukan dalam poket seluar hadapan sebelah kanan suspek bersama dua kelopak berisi 10 butir peluru, yang dikatakan dibeli lelaki itu dari seorang lelaki Thailand awal September lepas dengan harga RM2,200.

“Serbuan turut dilakukan di rumah suspek kira-kira 200m dari tempat kejadian, dan polis turut merampas 10,000 pil jenis Epam bernilai RM30,000 serta wang tunai RM54,000 dipercayai wang hasil dadah,” katanya pada sidang sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang.

Shafien berkata, pada 2003 suspek pernah meloloskan diri ketika sekatan jalan raya (SJR) di Gua Musang, selain turut meninggalkan kad pengenalannya selepas diminta pihak polis.

Katanya, suspek ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan disiasat bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.