
Kira-kira jam 5.50 petang semalam, suspek berpura-pura bertanyakan jenis rantai yang ingin dibeli untuk ibunya, bapa kepada pemilik kedai memberitahu mereka tidak mempunyai rantai yang diinginkan suspek.
Ketua Polis Daerah Kulim, Sazalee Adam berkata, bapa pemilik kedai emas kemudian menunjukkan rantai jenis lain seberat 79 gram kepada suspek yang dianggarkan bernilai RM20,000.
Beliau berkata, suspek yang kononnya mendakwa mahu melihat terlebih dulu, secara tiba-tiba terus melarikan diri dengan menunggang motosikal yang diletak berhampiran kedai emas berkenaan.
“Pemilik kedai cuba mengejar suspek namun gagal selepas lelaki terbabit memecut laju motosikal ditunggangnya.
“Suspek yang menunggang motosikal SYM merah itu dilihat melarikan diri ke arah jalan Pekan Kulim melalui hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam sebelum menghilangkan diri,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sazalee berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek berkaca mata hitam, baju T merah, berseluar kelabu, bertopi hitam dan memakai pelitup muka serta jam tangan perak.
Pemeriksaan mendapati motosikal yang ditunggang suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia sebenarnya didaftar atas nama seorang individu yang tinggal di Selangor.
“Kedai emas terbabit juga didapati tiada pengawal keselamatan namun ia dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, pemilik kedai, adik ipar dan bapanya sedang melayan empat pelanggan termasuk suspek dalam premis berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.