
Peguam Arham Rahimy Hariri, yang mewakili wanita itu berkata, permohonan izin anak guamnya dirangka dari perspektif undang-undang pentadbiran.
“Kami tidak meninggalkan permohonan anak guam hanya kerana MAIS gagal (memujuk panel hakim untuk mendengar merit aduan mereka).
“Kami tidak berkecil hati dengan keputusan mahkamah tertinggi minggu lalu,” katanya kepada FMT.
Arham berkata, permohonan anak guamnya itu akan didengar pada 12 April ini.
Pada 24 Nov, wanita itu memfailkan tiga persoalan undang-undang, termasuk Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 12 (4) menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah diputuskan oleh ibu bapa atau penjaganya.
Pada 27 Okt, Mahkamah Rayuan memutuskan Mahkamah Tinggi adalah tepat membenarkan bapa yang beragama Buddha membatalkan penukaran agama Islam sepihak oleh ibu mereka.
Hakim Mohamad Zabidin Diah berkata Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan mahkamah tertinggi 2018 dalam kes Indira, yang memutuskan bahawa pasangan perkahwinan sivil yang memeluk Islam tidak boleh menukar agama anak mereka secara sepihak.
Pada 26 Jan tahun ini, Mahkamah Persekutuan menolak bidaan MAIS untuk mengembalikan status agama lima anak kepada Islam, yang dilakukan secara sepihak oleh bapa mereka.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata isu penukaran agama sepihak telah diselesaikan dalam kes Indira.
Tengku Maimun juga berkata Seksyen 117 enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) jelas menyatakan bahawa kedua-dua ibu dan bapa mesti bersetuju dengan pertukaran agama anak-anak mereka.
MAIS telah memohon untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan ibu berusia 33 tahun itu untuk membatalkan penukaran agama lima anaknya kepada Islam, yang dilakukan secara sepihak oleh bekas suaminya.