Pasaran gelap mungkin berkembang susulan larangan jualan rokok, kata ahli ekonomi

Pasaran gelap mungkin berkembang susulan larangan jualan rokok, kata ahli ekonomi

Ia akan mendorong penjual rokok tidak sah untuk menguasai pasaran bagi kumpulan umur yang lahir selepas 2005 itu, menurut ahli ekonomi.

Perokok mungkin beralih kepada sumber pasaran gelap selepas penjualan rokok dilarang kepada mereka yang berusia 18 tahun, tahun depan, menurut ahli ekonomi.
PETALING JAYA:
Larangan penjualan rokok dan produk tembakau kepada mereka yang lahir selepas 2005 akan menyumbang kepada pasaran gelap, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pasaran Pendidikan Carmelo Ferlito berkata rokok tidak sah kini dijual antara RM3 dan RM6 sekotak manakala rokok sah yang berharga RM20 agak mahal disebabkan cukainya tinggi.

Beliau merasakan bahawa dengan mengehadkan penjualan kepada mereka yang mencapai usia 18 tahun pada tahun depan, ia akan mendorong penjual rokok tidak sah untuk menguasai pasaran bagi kumpulan umur seperti ini.

Ferlito turut menggesa kerajaan untuk mewujudkan satu persekitaran untuk produk alternatif dan kurang berbahaya.

Terdahulu, pada sesi pertemuan Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata negara berharap untuk meluluskan undang-undang melarang penjualan rokok dan produk tembakau termasuk rokok elektronik kepada mereka yang lahir selepas 2005.

Sementara itu, Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) turut menjangkakan “pasaran gelap yang tidak terkawal” untuk rokok dan rokok elektronik akan berkembang.

Pengarah Eksekutif MICCI Shaun Cheah berkata organisasi itu menyokong usaha Kementerian Kesihatan untuk memerangi insiden merokok yang tinggi di negara ini.

Bagaimanapun, dewan itu mengkritik apa yang digelarnya sebagai “penetapan dasar yang sewenang-wenangnya” serta peraturan.

Cheah berkata duti eksais yang tinggi yang dikenakan ke atas rokok pada 2015 telah menyebabkan enam daripada setiap 10 bungkus rokok yang dijual di negara ini adalah tidak sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.