
Izhar memegang jawatan Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia sebelum DUN Johor dibubarkan pada 22 Jan.
Pengunduran itu berlaku dua hari selepas Ketua Bahagian Bersatu Tebrau Mazlan Bujang mengumumkan keluar parti serta-merta dan meletakkan jawatan sebagai ketua bahagian.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Izhar memenangi kerusi DUN Larkin dengan majoriti 8,590 undi, menewaskan dua lagi pencabarnya Yahya Jaafar daripada BN (16,422 undi) dan calon PAS Zakiah Tukirin (3,223 undi).
Pada sidang medianya, Izhar berkata keputusannya itu diambil selepas melihat Bersatu sudah hilang hala tuju dan dilihat gagal.
Beliau juga telah hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
“Muhyiddin sahaja gagal membuktikan bawa parti ke tahap lebih baik, malah tak berusaha memulihkan selepas perpisahan dengan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Izhar memutuskan untuk tidak mempertahankan Larkin dan tidak akan bertanding mana-mana kawasan DUN di Johor.
Beliau juga meminta pengundi Larkin mengundi calon Barisan Nasional (BN).
“Saya ingin seru pengundi dan penyokong saya di DUN Larkin beri undi anda kepada calon BN.
“Saya akan membantu Umno ke landskap lebih baik,” katanya.