Pasca banjir: 4,227 permohonan bantuan automotif diterima dalam talian

Pasca banjir: 4,227 permohonan bantuan automotif diterima dalam talian

Nilai anggaran tuntutan RM5.47 juta diterima daripada mangsa banjir di seluruh negara.

Bank Negara akan berbincang dengan pihak insurans dan takaful untuk meningkatkan kesedaran pengguna untuk mengambil perlindungan insurans bagi bencana banjir, kata Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Sebanyak 4,227 permohonan bantuan automotif dengan nilai anggaran tuntutan RM5.47 juta diterima daripada mangsa banjir di seluruh negara menerusi portal rasmi https://bantuanautomotif.hasil.gov.my setakat ini, sejak dilancarkan pada 18 Jan lepas.

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, berkata jumlah itu dilihat masih sedikit walaupun tidak mengambil kira mereka yang membuat permohonan manual. Beliau berharap mereka yang belum berbuat demikian segera melakukannya sebelum tarikh tutup pada 31 Mac ini.

“Mangsa yang mengalami kerosakan kenderaan akibat banjir harus peka dan memanfaatkan bantuan yang disediakan kerajaan yang bertujuan meringankan beban ditanggung mereka dalam kerosakan disebabkan bencana itu,” katanya.

Shahar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Bank Simpanan Nasional (BSN) Komuniti Mikro dan Kemudahan Perbankan di Sungai Lembing, yang membolehkan penduduk sekitar menikmati kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bermula hari ini.

Mengambil iktibar daripada pengalaman banjir besar baru-baru ini, Shahar berkata Bank Negara akan berbincang dengan pihak insurans dan takaful untuk meningkatkan kesedaran pengguna untuk mengambil perlindungan insurans bagi bencana banjir.

“Ini juga melibatkan perancangan untuk keperluan industri terlibat menyediakan perlindungan komprehensif pada harga yang lebih mampu milik,” katanya.

Shahar berkata hanya 16% atau 1.8 juta kenderaan mempunyai perlindungan insurans atau takaful komprehensif termasuk untuk banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.