
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata isu pinjaman tanpa cagaran bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sektor perbankan, dan isu pengisytiharan Genting Hong Kong sebagai muflis amat dikesali.
Beliau menegaskan bank boleh meluluskan pinjaman tanpa cagaran berdasarkan kesanggupan bank tersebut mengambil risiko pada peringkat dalaman, penilaian kredit yang memenuhi kriteria, dan kelulusan berdasarkan proses tadbir urus dalaman.
“Tambahan pula dalam kes Genting Hong Kong, pinjaman telah diluluskan sebelum pandemik Covid-19 melanda. Genting Hong Kong ini adalah syarikat yang terlibat dalam sektor libur termasuk pelancongan.
“Tapi apabila Covid melanda banyak syarikat yang bergantung kepada pelancongan terjejas. Ini sudah tentu sesuatu yang tidak dapat dijangka semasa pinjaman diluluskan,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim, untuk menjelaskan isu tiga bank tempatan yang dinamakan sebagai antara ketua pemiutang tidak bercagar Genting Hong Kong dengan gabungan pendedahan sebanyak USD600 juta (RM2.5 bilion).
Tengku Zafrul turut menekankan bahawa bukan bank tempatan sahaja yang memberikan pinjaman tanpa cagaran kepada Genting Hong Kong malah ia turut melibatkan bank-bank dari luar negara.
Beliau berkata semua bank tersebut juga harus mematuhi garis panduan dalaman serta garis panduan bank pusat masing-masing sebelum memberikan pinjaman.
“Adakah Datuk Seri ingin memberi gambaran bahawa semua bank-bank dari luar negara ini juga telah bertindak semberono dalam memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong?” soalnya.
Tengku Zafrul turut menolak dakwaan mengenai pembabitan beliau sebagai Menteri Kewangan serta pemegang-pemegang saham bank-bank tersebut seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, dan Permodalan Nasional Bhd dalam proses kelulusan pinjaman tersebut.
Beliau menjelaskan keputusan untuk memberi pinjaman bukan ditentukan oleh Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan, atau pemegang saham tetapi oleh bank itu sendiri melalui proses usaha wajar dan penilaian kredit oleh Jawatankuasa Kredit masing-masing bagi menilai keupayaan bakal peminjam untuk membayar balik pinjaman.
”Saya yakin, sebagai seorang bekas Menteri Kewangan, Anwar juga sedia maklum tentang perbezaan antara peranan ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, beliau berkata sektor perbankan sebenarnya telah mengalami banyak penambahbaikan berbanding 1998 iaitu semasa Krisis Kewangan Asia di mana nisbah pinjaman tak berbayar pada Disember 1998 melonjak ke 18.6% dan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (LLC) adalah pada 55.9%.
“Bagi setiap RM1 yang dipinjamkan, hanya hampir 60 sen diperuntukkan bagi menangani kemungkinan pinjaman tidak dibayar.
“Sejak krisis itu, sistem perbankan Malaysia telah diperkukuhkan dan kini lebih berdaya tahan. Hari ini, nisbah pinjaman tak berbayar hanya 1.4% termasuk peruntukan nisbah pinjaman tidak berbayar separa bagi pinjaman oleh Genting Hong Kong.
“LLC kekal kukuh pada tahap 131.5% berbanding 55.9% pada 1998. Justeru, sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan tidak timbul sebarang masalah kecairan di pasaran,” kata Tengku Zafrul.