
Ketibaan Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu disambut lebih 30 penyokong, termasuk beberapa wakil rakyat PKR yang berhimpun di depan pintu utama Bukit Aman.
Antara wakil rakyat yang dilihat hadir bersolidariti ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan mengesahkan Wan Azizah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes buku itu.
“Ini adalah prosedur biasa dalam sesuatu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pasukan petugas khas siasatan ke atas dakwaan Tommy dalam buku itu mengadakan mesyuarat pertama di ibu negara, pada 23 Dis lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dipetik berkata, pasukan khas itu ditubuhkan bagi membuat siasatan awal berhubung beberapa dakwaan dalam buku itu termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman serta pendakwaan terpilih.
Menerusi tulisannya juga Tommy mendakwa bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad campur tangan dan berkeras ingin menjadi Perdana Menteri sementara selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencadangkan Wan Azizah menyandang jawatan itu.
Tommy menerbitkan buku itu awal tahun tahun lalu, namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak, antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan serta fitnah.
Berikutan itu, polis menerima lebih 100 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku itu.