
Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataan berkata, kadar tarif itu telah digunakan sejak 1 Jan 2014 apabila mekanisme “Incentive-Based Regulation” (IBR) diperkenalkan sebagai dasar baharu dalam penetapan tarif elektrik.
Katanya, keputusan ini juga terpakai kepada pengguna komersial dan industri.
“Bagi tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Dis 2021, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM1.67 bilion ekoran daripada kenaikan harga arang batu di pasaran sehingga mencecah USD200 satu tan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, bawah mekanisme “Imbalance Cost Pass-Through” (ICPT) yang disemak setiap enam bulan, kerajaan memutuskan pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan.
“Pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri dan pemberian ini adalah untuk tempoh 1 Feb hingga 30 Jun 2022.
“Bagi mengekalkan pemberian rebat dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntukkan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kenaikan harga arang batu menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45% dan memberi impak besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana 59% sumber penjanaan adalah arang batu.
“Peningkatan harga bahan ini adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia berasaskan harga pasaran global,” katanya.