Selidik agensi pengambilan pekerja Bangladesh, gesa Santiago

Selidik agensi pengambilan pekerja Bangladesh, gesa Santiago

Perlu didedahkan kepada umum sama ada semua ejen dan sub ejen yang dibenarkan adalah syarikat yang berbeza atau sekadar proksi, kata Ahli Parlimen Klang itu.

Kerajaan menandatangani MoU dengan Bangladesh yang membenarkan 25 ejen dan sub ejen mereka mendapatkan pekerja untuk Malaysia. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa kerajaan agar menyelidik lebih mendalam 25 ejen dan 250 sub ejen mereka yang ditugaskan membawa pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Walaupun Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, keputusan membenarkan 275 syarikat itu mengambil pekerja membuktikan bahawa tidak wujud monopoli, namun Santiago berkata, adalah penting untuk meneliti agensi terbabit bagi meminimumkan risiko buruh paksa.

Dalam wawancara dengan sebuah portal berita, Saravanan berkata, beliau “tidak mengenali mana-mana syarikat ini” kerana senarai ejen dan sub ejen disediakan oleh Bangladesh.

Namun kata Santiago, “banyak syarikat ini memiliki pengarah yang saling berkait dan kita sebenarnya tidak tahu siapa pemiliknya.

Charles Santiago.

“Mereka kata 25 (ejen) tetapi sebenarnya, ia mungkin hanya dua atau tiga orang dan operasinya mungkin bawah nama (syarikat) yang berbeza.

“Perlu didedahkan kepada umum sama ada mereka adalah 275 syarikat yang berbeza atau mereka semuanya proksi.”

Awal bulan ini, Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) meminta peluang sama rata bagi membenarkan 1,600 ahlinya menghantar pekerja ke Malaysia.

Persatuan itu sebelum ini berkata, 10 agensi yang dipilih oleh Malaysia memonopoli pengambilan pekerja antara tahun 2016 dan 2018.

Malaysia dan Bangladesh menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 19 Dis untuk memansuhkan pembekuan pengambilan pekerja Bangladesh baharu yang dilaksanakan sejak September 2018.

Saravanan merujuk kepada pertambahan bilangan ejen pengambilan pekerja kepada 25 dan sub ejen kepada 250 selepas timbul dakwaan bahawa bilangan itu mewujudkan monopoli.

“Jika kita mahu monopoli, kita boleh kekalkan 10 agensi itu atas alasan yang termaktub dalam MoU lama, tetapi saya meningkatkannya kepada 275 (ejen dan sub-ejen). Tiada monopoli,” katanya.

Beliau juga berkata, agensi Malaysia tidak akan terlibat dalam proses pengambilan dan tanggungjawab mereka “diterangkan dengan jelas” dalam MoU.

Bagaimanapun, beberapa pihak menzahirkan kebimbangan bahawa butiran MoU itu tidak didedahkan kepada umum, dengan ada pihak yang berkata bahawa ia akan mewujudkan sindiket untuk menguruskan pengambilan pekerja antara kedua-dua negara.

Pakar hak pekerja asing bebas Andy Hall minggu lepas menyatakan, sindiket sebegitu boleh meningkatkan kos migrasi pekerja yang seterusnya akan mengakibatkan ikatan hutang dan kerja paksa yang sistematik.

Hall memberitahu FMT bahawa “tidak rasional” hanya 275 syarikat dipilih.

Beliau juga berkata, dengan persekitaran sosial dan tadbir urus (ESG) lebih diberi penekanan, syarikat utama, pelabur dan jenama akan memilih untuk tidak mengambil pekerja asing Bangladesh yang datang ke Malaysia melalui proses bersindiket kerana ia akan melanggar standard antarabangsa.

“Tiada had sedemikian bagi pekerja dari Indonesia, Myanmar atau Nepal, jadi ini perlu lebih penjelasan.

“Perlu ada kriteria pemilihan yang jelas, telus dan objektif jika mereka mahu mengehadkan bilangan agensi,” katanya.

Hall juga menyangkal dakwaan Saravanan bahawa kementerian melantik 275 ejen dan sub ejen, bukannya 1,600 agensi seperti yang diminta BAIRA kerana tidak mahu Malaysia dijadikan “tempat pembuangan” pekerja asing.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai kata putus mengenai bilangan pekerja yang diambil oleh Malaysia dan bilangan agensi yang terlibat adalah “tidak relevan sama sekali”.

Seramai 326,669 warga Bangladesh bekerja di negara ini setakat 30 Nov lepas dengan majoritinya dalam sektor pembinaan (136,897) dan pembuatan (111,694).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.