
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata dalam kejadian 9.30 malam itu, wanita terbabit menuduh anggota bertugas tidak tahu undang-undang dan memperlekeh tindakan pihak polis, selain mendakwa anggota terbabit mengugut warga asing berkenaan.
“Ketika anggota polis sedang berurusan dengan pemandu berkenaan, seorang wanita dikenali Sheila tiba-tiba datang dari arah belakang menuduh anggota polis bertugas mengugut pemandu warga Pakistan berusia 34 tahun itu.
“Anggota polis berkenaan membuat laporan selepas kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular video dimuat naik wanita itu ke laman sosial mendakwa anggota polis berkenaan mengugut seorang warga Pakistan yang menunggang motosikal.
Inspektor Sheila digantung tugas sejak 23 Jun 2023 berhubung beberapa kes, antaranya menghina seorang anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas.