Tanam dan miliki ganja, lelaki dipenjara seumur hidup

Tanam dan miliki ganja, lelaki dipenjara seumur hidup

Hukuman itu dikenakan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes prima facie.

Azril Surash Masree Samy, 45, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta enam sebatan selepas didapati bersalah memiliki dan menanam pokok ganja dua tahun lalu.

Tertuduh, Azril Surash Masree Samy, 45, dijatuhi hukuman berkenaan di Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas didapati bersalah kerana memiliki dan menanam 12 pokok ganja pada dua tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman tersebut selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

“Selepas mengambil kira dan mempertimbangkan semua keterangan, fakta kes dan faktor kepentingan awam, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan dihukum penjara seumur hidup dan dikenakan enam sebatan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu selepas polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Mega Ria, Batu 3 Jalan Air Panas, Tawau pada 3 Ogos 2020.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 6B(3) Akta yang sama.

Sebelum ini, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan selepas mengaku bersalah kerana memiliki ganja mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Suhaimi Suriana manakala, tertuduh diwakili peguam Mark Rosaidey dan Muhammad Nazreen Jaafar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.