Sedia pusat undi di Singapura untuk PRN Johor, Ahli Parlimen beritahu SPR

Sedia pusat undi di Singapura untuk PRN Johor, Ahli Parlimen beritahu SPR

Teo Nie Ching berkata dengan 400,000 rakyat kita bekerja di seberang tambak, SPR mesti mengatur pusat mengundi di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Rakyat Johor di Singapura tidak seharusnya dinafikan hak untuk mengundi, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.
PETALING JAYA:
Rakyat Johor yang bekerja dan menetap di Singapura tidak boleh dinafikan hak mereka untuk mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan itu menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan pusat mengundi di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura bagi merealisasikan perkara itu.

“Terdapat kira-kira 400,000 rakyat Malaysia bekerja di Singapura dan ramai daripada mereka berasal dari Johor,” kata pemimpin DAP itu dalam kenyataan, selain menambah bahawa jumlah pengundi yang besar itu boleh menjejaskan keputusan PRN.

Teo menjelaskan, laluan perjalanan vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura mengehadkan bilangan orang yang boleh pulang untuk mengundi dalam pilihan raya.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

“Untuk menyertai pilihan raya, ratusan ribu pengundi Johor perlu mendaftar dan mengundi secara pos.

“Tetapi saya percaya bahawa tiada halangan harus diletakkan di laluan pengundi. Proses mengundi juga tidak perlu menyusahkan,” katanya.

Oleh itu tambah Teo, keengganan pihak berkenaan memudahkan pengundi Johor yang menetap di Singapura adalah satu sikap tidak menghormati hak perlembagaan dan demokrasi mereka.

Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan Sabtu lalu manakala SPR akan bermesyuarat pada 9 Feb untuk menetapkan hari penamaan calon dan mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.