Kes SUV terhumban dari Jambatan P Pinang: Bekas pekerja salon dipenjara 3 tahun

Kes SUV terhumban dari Jambatan P Pinang: Bekas pekerja salon dipenjara 3 tahun

Lelaki berusia 24 tahun itu didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng dalam kejadian pada 2019.

Vaitheswaran M Kumaradevan turut diperintahkan membayar denda RM10,000 dan digantung lesen memandunya.
BUKIT MERTAJAM:
Seorang bekas pekerja salon yang menyebabkan kereta rakannya terjunam dari Jambatan Pulau Pinang tiga tahun lepas dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Ahzah Fariz Ahmad Khairuddin turut memerintahkan Vaitheswaran M Kumaradevan, 24, membayar denda RM10,000 atau dihukum penjara 12 bulan lagi dan digantung lesen memandunya.

Vaitheswaran didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Moey Yun Peng selepas kenderaan SUV dipandu mangsa di Jambatan Pulau Pinang terhumban ke dalam laut pada 20 Jan 2019.

Kereta Moey Yun Peng diangkat keluar dari laut berikutan nahas pada 20 Jan 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Mahkamah mendengar keterangan daripada 12 saksi, termasuk anggota polis trafik, bapa Moey dan seorang pekerja kopitiam yang berkata, Vaitheswaran berada di majlis hari jadi bersama Moey di George Town beberapa jam sebelum kemalangan itu.

Mahkamah turut diberitahu bagaimana kereta yang dipandu Vaitheswaran melanggar bahagian belakang kenderaan Moey, menyebabkan ia terjunam dari jambatan.

Pasukan pencarian dan pemulihan yang dianggotai 140 orang mengharungi lautan bergelora dan cuaca buruk, dan tiga hari kemudian mengeluarkan kenderaan Moey, yang tenggelam sedalam 15m di Tiang 34 jambatan itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Nazri Abdul Rahim menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman yang paling berat, dengan berkata, terdapat terlalu banyak nahas jalan raya yang mengakibatkan kematian.

“Liputan media mengenai kes ini meluas. Bagaimanapun, kepentingan awam lebih penting daripada kepentingan tertuduh,” katanya.

Ketika mitigasi, peguam K Paramanathan berkata, Vaitheswaran hanya berusia 20 tahun ketika kejadian, dan sejak didakwa, tidak dapat bekerja kerana lesen memandunya telah digantung.

Katanya, anak guamnya turut mengalami trauma akibat kematian rakannya.

Paramanathan memohon penangguhan hukuman dengan berkata, tertuduh masih sangat muda, dan menambah, mereka merancang untuk merayu keputusan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim membantah dengan berkata, usia mudanya “bukan sesuatu yang istimewa” bagi memohon penangguhan hukuman.

Katanya, mahkamah mesti melihat keadaan kes itu kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Ahzah menolak permohonan penangguhan hukuman itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.