Pendakwaan terhadap 2 bekas pegawai Sivarasa, SPRM tak boleh disalahkan, kata peguam

Pendakwaan terhadap 2 bekas pegawai Sivarasa, SPRM tak boleh disalahkan, kata peguam

Bagaimanapun, timbul spekulasi terhadap SPRM dan Pejabat Peguam Negara, terutama membabitkan masa pendakwaan lebih-lebih lagi R Sivarasa sebelum ini lantang mempersoalkan Azam Baki.

Peguam KA Ramu berkata, pendakwaan terhadap dua lelaki berkenaan kelihatan janggal selepas mengambil kira perkembangan semasa.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa melakukan kesilapan selepas meletakkan kesalahan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan dikenakan kepada anak saudaranya, termasuk bekas pegawainya susulan tuduhan terbabit rasuah, pada 2017, kata seorang peguam.

Bagaimanapun, KA Ramu berkata, timbul spekulasi terhadap SPRM dan Pejabat Peguam Negara terutamanya membabitkan masa pendakwaan dilakukan, lebih-lebih lagi Sivarasa antara seorang daripada Ahli Parlimen, yang lantang mempersoalkan isu pegangan saham dimiliki Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Ramu berkata demikian bagi mengulas kenyataan dikeluarkan Sivarasa, semalam mendakwa pertuduhan dikenakan terhadap dua individu itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, adalah bentuk tindakan berdasarkan dendam, susulan kelantangan kepada Azam.

Hari ini, Naveen K Rasiah dan Nico Kam Jo Hoe, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan meminta dan menerima rasuah daripada warga asing untuk “menutup kes” penyalahgunaan kelayakan akademik bagi kemasukan pekerja asing oleh sebuah syarikat.

Ramu berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah, Peguam Negara (AG) yang berperanan sebagai pendakwa raya, mempunyai kuasa sama ada mengenakan tuduhan untuk dibawa ke mahkamah.

Katanya, Pejabat Peguam Negara mempunyai kuasa mengarahkan mana-mana agensi siasatan untuk mengumpul keterangan, seperti menemubual saksi, termasuk mengumpul dokumen, demi memastikan tuduhan dikenakan dapat bertahan ketika perbicaraan.

“Mengikut undang-undang, AG mempunyai kawalan dan halatuju semua pendawaan dan prosiding,” katanya kepada FMT.

Ramu berkata, Malaysia mengamalkan sistem semak dan imbang dalam pentadbiran keadilannya.

“Kuasa menyiasat seperti SPRM diberikan sepenuhnya kepada mereka. Pendakwaan berdasarkan keterangan yang ada. Adalah menjadi tanggungjawab mahkamah menentukan sama ada seseorang itu didapati bersalah atas mana-mana jenayah,” katanya.

Ramu berkata, sebagai penjaga kepada kepentingan awam, pendakwaraya sepatutnya memastikan nama baik jabatannya dipelihara setiap masa.

“Pendakwaan dikenakan terhadap dua lelaki kelihatan janggal, mengambil kira perkembangan semasa dan mencetuskan spekulasi dalam kalangan orang awam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, perlu diketahui bahawa tiada tempoh masa yang menghadkan pertuduhan dikenakan terhadap seseorang dalam mana-mana dakwaan jenayah.

Sivarasa berkata, pada Ogos 2017, beliau secara terbuka mempersoalkan Jabatan Imigresen berhubung seorang ahli perniagaan warga Bangladesh, yang didakwa secara menyeleweng mendapatkan permit pekerja warga negara itu bagi pekerja pembersihan dan kakitangan di hotel, yang dikatakan diperoleh menggunakan dokumen palsu.

Beberapa bulan selepas dakwaan itu, tiga kakitangannya, Naveen, Nico Kam dan Joshua Kalaiselvan, ditahan SPRM, termasuk direman selama empat hari dan disiasat kerana didakwa melakukan kesalahan cuba meminta dan menerima rasuah daripada ahli perniagaan berkenaan, sebagai dorongan “menutup kes”.

Katanya, selepas dilepaskan daripada reman, tiada pertuduhan dikenakan terhadap ketiga-tiga mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.