3 maut, 4 cedera kemalangan 2 kereta

3 maut, 4 cedera kemalangan 2 kereta

Kedua-dua kenderaan tersebut terbabas ke bahu kiri jalan selepas bergesel, menyebabkan salah satunya remuk dan terbakar.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. (Gambar JBPM Pahang)
KUANTAN:
Tiga individu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuantan-Maran berhampiran pusingan U Batu 3 Tanah Putih, di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Kamarulzaman Jusoh berkata, kemalangan pada kira-kira 11.30 malam itu mengakibatkan pemandu Proton Iswara, Adzarul Fadzlie Ahmad Roki, 33, meninggal dunia akibat terbakar di seluruh badan.

Turut maut adalah penumpang hadapan kereta Proton Saga, Azura Iskandar Mohamad, 32, dan anak perempuannya, Nur Izara Al Aishah Mohd Fairus, 5, akibat kecederaan di kepala.

“Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” kata Kamarulzaman dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suami Azura, Mohd Fairus Md Yusof, 40, dan tiga lagi anak mereka, iaitu Mohamad Al Hafiz Ikram, 11, Nurul Al Aziana Ashikin, 10, dan Mohamad Al Alif Ikmal, 9, yang cedera di kepala, kaki dan tangan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan.

Katanya, siasatan awal mendapati Adzarul Fadzlie, seorang pekerja kilang, hilang kawalan ke atas kereta yang dipandunya dari arah Gambang menghala Kuantan lalu bergesel dengan Proton Saga dipandu Mohd Fairus yang berada di sebelah kiri jalan.

Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan tersebut terbabas ke bahu kiri jalan lalu menyebabkan Proton Iswara itu remuk dan terbakar.

Kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya diminta tampil membantu siasatan.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Ismail Abdul Ghani dalam kenyataan berkata, 16 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba Indera Mahkota, Taman Tas dan Kuantan digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.34 malam.

Katanya, mayat wanita yang tersepit dikeluarkan dengan menggunakan unit tenaga hidraulik dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.