Polis siasat penglibatan ahli politik, NGO dalam perhimpunan

Polis siasat penglibatan ahli politik, NGO dalam perhimpunan

Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Awam 2012 selain Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Polis berkata peserta perhimpunan seramai kira-kira 50 orang yang memakai baju hitam mula berkumpul di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar sejak 10.45 pagi.
KUALA LUMPUR:
Polis akan menyiasat penglibatan beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam perhimpunan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) di Bangsar.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Awam 2012 selain Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Amihizam dalam kenyataan berkata, peserta perhimpunan seramai kira-kira 50 orang yang memakai baju hitam mula berkumpul di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar sejak 10.45 pagi semalam.

“Pada kira-kira jam 11.45 pagi, jumlah peserta perhimpunan dianggarkan seramai 400 orang mula berarak dengan membawa kain rentang bercetak “Tangkap” ke Jalan Travers sehingga di persimpangan lampu isyarat ke Pekan Brickfields,” katanya.

Menurutnya, semua peserta perhimpunan kemudian bergerak kembali ke Stesen LRT Bangsar dan bersurai secara berperingkat selepas 30 minit setelah ketua perhimpunan memberi ucapan.

Beliau berkata seramai 21 pegawai polis dan 205 anggota pelbagai unit termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) terlibat mengawasi perhimpunan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.