Kami hanya mahu kebenaran mengenai pemilikan saham Azam, kata PH

Kami hanya mahu kebenaran mengenai pemilikan saham Azam, kata PH

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membidas kenyataan Ahmad Faizal Azumu bahawa tindakan mempersoalkan kontroversi Azam Baki bersifat tidak patriotik.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebelum ini berkata, keengganan PH menerima penemuan SC berhubung Azam Baki bermakna mereka memperlekehkan kerajaan dan institusi seperti SPRM dan SC.
PETALING JAYA:
Ahli pembangkang yang terus-menerus menekankan pegangan saham Azam Baki sedang mencari kebenaran dan ketelusan, bukan tidak patriotik, seperti yang didakwa Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, sesiapa yang berfikiran wajar akan mempersoalkan penemuan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan penjelasan yang diberikan Azam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Menjadi tidak patriotik dengan mempersoalkan kontroversi Azam Baki bukanlah isunya. Ia dipanggil kontroversi kerana penemuan SC secara langsung bercanggah dengan penjelasan Azam sendiri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Faizal salah faham yang isu itu berkaitan dengan integriti SPRM dan SC, dan ia tiada kaitan dengan menjejaskan moral perkhidmatan awam.

“Pemimpin datang dan pergi, tetapi institusi mesti dipertahankan setiap masa,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata: “Ahli Parlimen mencari kebenaran dan memohon ketelusan.”

Faizal berkata, keengganan PH menerima penemuan SC bermakna mereka “melawan penjawat awam” dengan memperlekehkan kerajaan dan institusi seperti SPRM dan SC.

Beliau juga menuduh PH menjejaskan masa depan negara semata-mata demi agenda politik mereka.

Azam telah terbabit dengan kontroversi mengenai pemilikan sahamnya dalam syarikat senaraian awam melebihi jumlah ambang yang dibenarkan bagi penjawat awam.

Usai siasatan, Suruhanjaya Sekuriti berkata, mereka tidak dapat memastikan secara konklusif sama ada Azam melanggar sebarang undang-undang sekuriti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.