Tiada sijil kahwin sah tak layak dapat kerakyatan, kata menteri

Tiada sijil kahwin sah tak layak dapat kerakyatan, kata menteri

Dokumen itu antara syarat ditetapkan undang-undang sebelum seseorang diberi kerakyatan.

Hamzah Zainudin memaklumkan kerajaan tidak boleh memberikan kewarganegaraan secara pukal kerana terdapat banyak masalah dihadapi seperti berlaku ke atas Rohana Abdullah.
LARUT:
Kerajaan tiada masalah untuk memberikan sijil kerakyatan jika mempunyai dokumen perkahwinan yang sah di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, ini kerana pemberian sijil taraf kerakyatan perlu dibuat mengikut undang-undang sedia ada di negara ini.

“Antara syarat ditetapkan undang-undang ialah mempunyai sijil perkahwinan sah dan mendaftar perkahwinan di negara ini.

“Bila kami dapat pengakuan dan dokumen sah, barulah kami minta mereka buat beberapa perkara seperti akuan bersumpah sebelum layak diberikan kerakyatan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Kenduri Kampung di Masjid Kampung Tapah, Sungai Bayor, dekat Selama, hari ini.

Hamzah sebelum ini dilapor berkata, siasatan terperinci akan dilakukan berhubung soal taraf kewarganegaraan, Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika, selepas ibunya pulang ke Indonesia dan pihaknya tidak boleh memberikan kewarganegaraan secara pukal kerana terdapat banyak masalah dihadapi seperti berlaku ke atas Rohana.

Justeru, Hamzah mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan dalam mendapatkan status kewarganegaraan seperti mendaftarkan perkahwinan sebelum berlakunya masalah membabitkan anak-anak mereka kelak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.