Pertikai waktu mengajar Pendidikan Islam: Tak faham atau sengaja buat tak faham, soal menteri

Pertikai waktu mengajar Pendidikan Islam: Tak faham atau sengaja buat tak faham, soal menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menyifatkan tindakan itu sesuatu yang pelik memandangkan rungutan sedemikian tidak pernah disuarakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata rungutan sedemikian tidak pernah disuarakan oleh mana-mana pihak. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Tindakan mempertikai waktu mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam lebih banyak berbanding subjek teras lain hanya ditimbulkan segelintir individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang pelik memandangkan rungutan sedemikian tidak pernah disuarakan oleh mana-mana pihak.

“Agak pelik kalau orang cuba merungut bab itu. Selama ini tidak ada pun kita dengar rungutan dalam bentuk macam itu. Jadi, apabila kita dengar ia agak sedih.

“Itu lumrah biasa dalam kalangan masyarakat. Ada dalam kalangan mereka mungkin dia (individu berkenaan) tidak faham atau sengaja buat tidak faham, terpulang pada dia,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis pelancaran Madrasah Tahfiz Orang Kurang Upaya (OKU) Ata’ bin Abi Rabah (MATAAR) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu ciapan yang tular di Twitter baru-baru ini berhubung tindakan seorang individu mempersoalkan masa bagi mata pelajaran Pendidikan Islam sama banyak diajar dengan Bahasa Inggeris dan lebih banyak daripada mata pelajaran Matematik dan Sains.

Mengenai MATAAR, Idris berkata ia terletak di kawasan seluas lebih satu hektar yang diwakaf kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Parit 3, Sungai Burong, Tanjong Karang dekat sini.

Beliau berkata, madrasah itu akan diselia badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat.

Sementara itu, Pengerusi MATAAR, Abdol Hamid Ishak berkata madrasah tersebut adalah bekas sebuah tapak maahad tahfiz yang perlu dibaik pulih dengan kos melebihi RM3 juta bagi keselesaan pelajar OKU.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.