
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Anuar Ahmad, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai pelbagai wadah bagi pembinaan karakter dan akhlak di sekolah.
Beliau memberi contoh Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), di mana pelajar dengan amalan baik dan nilai murni akan diberikan merit, manakala ‘demerit’ jika membuat perkara salah.
“Maka, tiada keperluan mewujudkan subjek baharu berkaitan pendidikan karakter. Yang perlu kita lakukan ialah memperkukuh serta menambah baik silibus Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, serta fokus pembinaan karakter menerusi kegiatan persatuan beruniform,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, KPM dilaporkan 60 minit seminggu akan diperuntukkan khusus bagi pelaksanaan Program Pembentukan Karakter di sekolah rendah dan menengah dalam Kurikulum Persekolahan 2027 supaya aktiviti pembentukan karakter boleh dilaksanakan secara terancang serta berfokus.
Khamis lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu Dewan Rakyat, subjek Pendidikan Karakter akan diperkenalkan mulai tahun depan bagi memperkukuh pembentukan sahsiah dan keperibadian murid.
Anuar menyarankan tumpuan untuk intervensi awal dan program khas bagi kumpulan pelajar berisiko tinggi melanggar disiplin bagi pemulihan serta modifikasi tingkah laku.
“Tiada keperluan ‘memaksa’ majoriti pelajar berkelakuan baik mempelajari subjek karakter,” katanya sambil menambah menjadikannya subjek wajib memerlukan ramai guru tambahan dan kos tinggi.
Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, berkata timbul persoalan keberkesanan mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Islam, Moral, Sivik dan Kewarganegaraan dalam membina karakter.
“Apa dan bagaimana sebenarnya pelajar belajar dan diajar dalam mata pelajaran sedia ada? Itu yang perlu dikaji. Adakah dipraktikkan atau dilaksanakan secara ala kadar, teori ‘pass exam’ sahaja?
“Kita mahu keberkesanan dan keberhasilan dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya sambil menambah KPM berdepan krisis defisit kepercayaan kerana ibu bapa sukar yakin inisiatif baharu akan berkesan.