
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, setakat ini 11 individu sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Katanya, pihaknya juga berbincang dengan pihak perundangan untuk memperkemaskan siasatan berkenaan.
“Kes masih dalam siasatan seperti mana yang saya maklumkan dan ia akan selesai dalam minggu ini.
“Sehingga kini seramai 11 individu sudah dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita berusia 26 tahun yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang ADUN Johor.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan itu daripada wanita terbabit di Balai Polis Kota Tinggi pada 11.30 pagi Isnin lepas.
Laporan polis mengenai gangguan seksual itu tular di media sosial.
Wanita itu, yang dipercayai ahli sebuah parti politik di Johor, mendakwa beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.
Rasman kemudian dalam kenyataan mengulas laporan polis dibuat wanita terbabit menyifatkan tuduhan ke atasnya adalah konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai wakil rakyat.