Mahkamah tolak dakwaan kecuaian kerajaan, DBKL berhubung kematian remaja dihempap kerusi

Mahkamah tolak dakwaan kecuaian kerajaan, DBKL berhubung kematian remaja dihempap kerusi

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan DBKL dan kerajaan persekutuan membatalkan saman dikemukakan selepas mendengar penghujahan hari ini dalam prosiding secara maya.

K Sathiasilan (kiri) dan S Kasthuribai memfailkan saman tahun lalu, menuntut kerugian daripada Putrajaya dan DBKL, susulan kematian anak lelaki mereka.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak dakwaan kecuaian sehingga menyebabkan kematian seorang remaja, selepas kerusi yang dibaling menghempap kepalanya dari tingkat 17, dalam kejadian di sebuah pangsapuri, empat tahun lalu.

Ahli keluarga remaja lelaki itu mengemukakan saman terhadap Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana cuai sehingga menyebabkan kematian S Sathiswaran.

Remaja itu, ketika kejadian berusia 15 tahun, maut di lokasi kejadian susulan kerusi menghempapnya di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam, di sini, pada Januari 2018.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz, membenarkan DBKL dan kerajaan persekutuan membatalkan saman dikemukakan selepas mendengar penghujahan, hari ini, dalam prosiding secara maya.

DBKL dan kerajaan, menuntut mahkamah membatalkan saman dibuat pihak keluarga itu, berhujah tiada sebab munasabah saman itu perlu diteruskan.

Mereka berkata, keluarga Sathiswaran memfailkan saman sivil berkenaan sebelum berakhirnya tempoh tiga tahun ditetapkan dalam undang-undang.

Mahkamah bagaimanapun tidak memutuskan sebarang perintah membabitkan kos.

Tahun lalu, ibu Sathiswaran, S Kasthuribai, memfailkan saman menuntut kerugian daripada pihak berkuasa berhubung kematian anak lelakinya itu.

Polis pada 2018, berkata mereka menyiasat kematian Sathiswaran mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana mengakibatkan kematian disebabkan kecuaian.

Pihak keluarga itu diwakili peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Pavitra Loganathan, manakala Kelvin Manuel Pillay, mewakili DBKL. Peguam Kanan Persekutuan Rohaiza Hamzah mewakili kerajaan.

Peguam keluarga berkenaan, berkata akan mendapatkan arahan selanjutnya sama ada merayu terhadap keputusan mahkamah terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.